JENTERA berwarna putih yang sudah berusia hampir 73 tahun itu amat dekat dihatinya. Meskipun baru setahun menjadi miliknya, sejarah kenderaan itu sudah diketahui secara mendalam. Bukan mudah untuk memperoleh model tersebut kerana pemilik asal enggan menjualnya.
Namun berkat kesabaran Angus E. Campos, seorang ahli perniagaan minyak maritim, Mercedes-Benz model 170 V Roadster akhirnya beralih tangan.
Pemilik asalnya ialah keluarga Veledrom dari Belanda yang berkecimpung dalam perniagaan import dan mengeluar kenderaan di Surabaya, Indonesia.
Sewaktu bertemu Angus, beliau menyatakan model Roadster itu menjadi kereta kesayangannya disebabkan sejarahnya yang luar biasa. Kereta itu pernah dibom oleh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua!
“Sewaktu Jepun menyerang Indonesia, pemiliknya menyembunyikan kereta ini dalam sebuah kontena di dalam gudangnya. Askar Jepun fikir gudang tersebut menjadi lokasi penghasilan senjata api. Jadi, gudang itu dibom.
“Selepas perang tamat, pemiliknya menemui kereta 170 V Roadster itu dalam keadaan yang amat teruk. Pada tahun 1946, ia dihantar ke kilang Mercedes-Benz di Jerman untuk dibaik pulih,” ceritanya.
Ketika model itu sampai ke Jerman, pemilik asalnya menerima satu panggilan telefon untuk meminta kebenaran membuat sedikit modifikasi yang melibatkan pemindahan lampu hadapan pada dapra. Modifikasi yang dilakukan pada model 170 V Roadster menjadi prototaip untuk pengeluaran model-model keluarga 220.
Angus ditemui pada pameran pertandingan Historic Mercedes-Benz Concours 2011. Berlangsung di Palace of the Golden Horses, Mines Resort City di Selangor, ia merupakan acara yang julung-julung kali dianjurkan oleh Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. (Mercedes-Benz Malaysia).
Acara tersebut diadakan sempena ulang tahun jenama Mercedes-Benz ke-125. Pelbagai model vintaj, klasik dan moden klasik dipertandingkan. Angka rasmi kenderaan yang diperagakan ialah sebanyak 125 buah.
Tiga buah teksi
Suasana pameran cukup meriah. Para pemilik kenderaan tidak melepaskan peluang berbual dan melayan pertanyaan pengunjung mengenai kereta yang mereka dipamerkan. Tiga buah teksi lama berwarna biru kuning dan dua buah lori Mercedes-Benz turut memeriahkan pameran.
Di bawah pancaran matahari yang terik, pengunjung masih sempat berkongsi idea dan pengetahuan mengenai kenderaan Mercedes-Benz.
Lokasi pameran kereta vintaj secara tiba-tiba lengang seketika apabila sebuah Mercedes-Benz Mclaren SLR dipandu masuk dan ditempatkan di hadapan barisan kereta Vintaj. Orang ramai termasuk beberapa peserta pameran terus berkerumun disekeliling model terbaru itu.
Perlu diketahui, pengumpulan kenderaan yang bernaung di bawah jenama Mercedes-Benz itu merupakan himpunan terbesar pernah diadakan di rantau Asia Tenggara. Nilai keseluruhan model-model tersebut melebihi RM80 juta. Penyertaan diterima dari seluruh negara termasuk enam model yang dipandu terus oleh peserta dari Singapura.
Kesinambungan pameran ini untuk dijadikan satu acara tahunan masih belum diputuskan oleh Mercedes-Benz Malaysia. Perkara itu perlu mengambil kira kejayaan pameran kali ini, sambutan, jumlah penyertaan serta aspek-aspek lain termasuklah peruntukan kewangan.
30 juta unit dijual
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Roland S. Folger memberitahu, pameran itu menampilkan barisan model yang menceritakan sejarah, kualiti binaan, peneraju rekaan, inovasi teknologi serta usaha-usaha yang dilakukan oleh peserta demi mengekalkan keaslian kenderaan masing-masing.
“Antara model yang diperagakan ialah Mercedes-Benz 300SL Gullwing, Mercedes-Benz 320B tahun 1938, Mercedes-Benz 220SE Ponton Cabriolet dan beberapa model terbaru keluaran Mercedes-Benz,” katanya.
Sejak tahun 1945, sebanyak 30 juta kenderaan Mercedes-Benz berjaya dijual di seluruh dunia dengan 100,000 daripadanya dimiliki oleh pengguna di Malaysia.
Menurut S. Folger, pemilik pertama Mercedes-Benz di Malaysia ialah Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1910.
Bapa Angus, Tan Sri Eugenio Campos membawa kenderaan paling rare di dunia iaitu model Mercedes-Benz 500K. Hanya 354 unit sahaja dihasilkan pada tahun 1936. Apa yang menariknya, ini adalah model buatan tangan dan menggunakan enjin 5,000cc dengan supercharger. Kini cuma tinggal tiga buah model tersebut di dunia.
Selain Eugenio Campos, dua lagi jentera sama dikatakan berada di Jepun dan Eropah. Nilai kereta itu dikatakan sudah mencecah RM25 juta sebuah.
Eugenio Campos berjaya membeli model itu daripada seorang pengumpul kenderaan antik di Australia pada tahun 1996. Beliau kemudian membelanjakan lebih RM1 juta untuk kerja-kerja membaikpulih di Mercedes-Benz Classic Centre di Jerman.
Angus memberitahu, antara kelebihan Mercedes-Benz ialah pengeluar kenderaan itu masih menghasilkan komponen untuk model-model kereta lama dan klasik.
“Jika komponen tiada, tidak timbul masalah kerana mereka masih menyimpan lukisan asal yang boleh digunakan untuk penghasilan semula alat yang diperlukan pelanggan. Mereka akan mengambil masa dua minggu untuk menghantar alat ganti yang kami pesan,” jelasnya.
Pemilik model 250SL Automatik keluaran tahun 1967, Datuk Shamshul Baharain Sulaiman menyatakan bahawa penjagaan kenderaan klasik tidaklah sesusah yang disangka kerana ia tidak menggunakan kotak komputer. Semuanya mekanikal. Penyelenggaraan perlu dilakukan tiga bulan sekali meliputi penukaran minyak hitam dan palam pencucuh.
Inisiatif Mercedes-Benz yang turut mengetengahkan beberapa model terbaru sekali gus menjadikan ia satu pameran yang boleh dianggap lengkap. Antara model terkini yang dipamerkan termasuklah model ML350 AMG Sport Edition, E63 AMG, R300L, S350L, E25 CGI BlueEFFICIENCY, E250 Coupe, SL300, C300 Estate dan B180.
Sementara itu, Azmi Aziz yang memiliki model 280S tahun 1969 dibelinya daripada pelumba rali, Karamjit Singh berharap institusi kewangan tempatan memudahkan pinjaman untuk pembelian kenderaan klasik. Langkah itu pasti memberi peluang kepada lebih ramai peminat memiliki kereta klasik idaman mereka.
Historic Mercedes-Benz Concours ternyata menjadi platform terbaik menceritakan perkembangan inovasi dan revolusi perjalanan jenama Mercedes-Benz kepada umum.
Pameran itu juga membolehkan pemilik-pemilik kenderaan vintage dan klasik diraikan secara langsung oleh pihak Mercedes-Benz.
No comments:
Post a Comment