Saturday, 21 May 2011

KL parkour





SUASANA di sekitar Putrajaya pada pagi Ahad itu tampak tenang berbanding hari-hari biasa. Keadaan jalan raya lengang. Pejabat-pejabat kerajaan yang sebelum ini sibuk dengan orang ramai melakukan pelbagai urusan juga kelihatan sunyi sepi.
Lazimnya, begitulah senario yang boleh dilihat di Putrajaya setiap kali cuti hujung minggu atau cuti umum.
Bagi Abudi Alsagoff, 20, ketenangan itulah yang dicarinya setiap kali berkunjung ke pusat pentadbiran kerajaan itu saban minggu.
Bukan apa, dia tidak mahu aktiviti dia dan rakan-rakannya di taman rekreasi berhampiran Menara Putrajaya Holdings itu diganggu.
Kehadiran mereka bukannya mahu bersuka-ria, jauh sekali melakukan onar. Mereka hadir untuk menguji kemahiran diri dalam parkour (seni pergerakan badan), satu kegiatan ekstrem yang semakin berkembang di negara ini.

PARKOUR dilihat sebagai seni yang agak berbahaya oleh kebanyakan orang kerana gerakannya yang bukan mudah.


Landskap taman yang dikelilingi tembok batu, palang besi dan tiang konkrit memberikan cabaran semula jadi kepada peminat parkour sepertinya.
Lompatan demi lompatan yang dilakukan, disulami dengan aksi akrobatik untuk menempuh pelbagai halangan fizikal di hadapan menggunakan tubuh badan nyata memukau pandangan.
Itu tidak menghairankan kerana Abudi dan rakan-rakannya sememangnya profesional dalam rutin seni itu. Di bawah payung Kelab 3RUNmy, mereka kini aktif menjalankan pelbagai persembahan bergerak, persembahan untuk badan korporat dan komersial serta bengkel di negara ini.
Sebagai antara pengasas kelab itu, Abudi berkata, 3RUNmy yang ditubuhkan pada 2008 merupakan kelab parkour profesional pertama negara ini.
Dia yang aktif dalam parkour sejak 2007 memberitahu, sebelum ini dia dan seorang lagi pengasas kelab itu, Amir Hamzah Abdul Halim, 20, sering menerima pelawaan melakukan persembahan secara individu.
“Kami mula terfikir seni ini sebenarnya mempunyai tarikan dan nilai komersial yang tersendiri, lalu menubuhkan 3RUNmy.
“Ia diinspirasikan daripada kejayaan kelab parkour profesional di United Kingdom, 3RUN. Kelab itu bukan sahaja terkenal di seluruh dunia, malah aktif melakukan persembahan, komersial, koreografi, kejurulatihan dan bengkel,” katanya yang merupakan pelajar tahun dua Kejuruteraan Elektrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Dianggotai 11 ahli, Abudi menjelaskan 3RUNmy pernah dijemput mengadakan persembahan khas seperti Cabaran Kecergasan 2008, Xtreme Challenge Putrajaya 2008, Hari Belia Negara 2010, Festival Belia Malaysia 2010 dan sebagainya.
Pendapatan sampingan
Katanya, kelab itu juga terlibat menjayakan persembahan membabitkan badan korporat seperti pelancaran produk dan karnival seperti pelancaran model baharu Mini Cooper, Puma Winter Fashion Show, Puma Happy Hunting, Reebok dan American International Assurance (AIA).
“Di samping itu, terdapat beberapa persembahan komersial di televisyen yang pernah dijayakan seperti Marigold, 100 Plus, Astro, Kentuky Fried Chicken, Power Root, Code 10 dan sebagainya.
“Malah, ada di antara kami juga yang pernah bergelar pelakon aksi ngeri seperti dalam filem Cicak Man 2, Haq dan Jin Notti,” jelasnya yang pernah terlibat untuk penggambaran komersial luar negara bagi produk Navratna Oil.

KREW 3RUNmy melakukan lompatan balik kuang secara serentak yang memerlukan ketangkasan dan kemahiran tinggi.


Tambah Abudi, dia tidak menyangka parkour yang disertainya sebagai salah satu aktiviti kecergasan pada masa lapang satu ketika dahulu, kini mampu menjana pendapatan sampingan.
“Boleh dikatakan setiap bulan ada sahaja jemputan yang diterima sama ada untuk persembahan atau komersial.
“Bagaimanapun, ia tidak bermakna kami mengabaikan keaslian seni ini disebabkan mahu mengejar prestij atau wang. Ia masih satu seni indah yang menggabungkan aspek mental, fizikal dan persekitaran untuk menghasilkan gerak langkah yang menggagumkan,” ujarnya yang bercadang untuk menubuhkan akademi dan gimnasium di bawah 3RUNmy satu hari nanti.
Sementara itu, bagi Amir pula, dia tidak menyangka minat mendalam terhadap parkour membolehkannya menimba pengalaman lakonan dalam filem Cicak Man 2 pada tahun 2008.
Ujarnya, biarpun sudah biasa terlibat dalam penggambaran komersial sebelum itu, namun penggambaran filem lebih mencabar kerana melibatkan banyak lokasi, tempoh masa panjang dan jadual yang ketat.
Katanya, dalam filem itu, dia menjadi double stunt untuk watak utama Cicak Man 2, Hairi lakonan Saiful Apek.
“Penggambaran mengambil masa sehingga sebulan membabitkan beberapa lokasi sekitar Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor.
“Boleh dikatakan hampir semua aksi lagak ngeri yang ditampilkan dalam filem itu dilakonkan oleh saya,” katanya yang dibayar sehingga RM10,000 dalam filem itu.
Bercerita tentang pengalamannya, Amir berkata, cabaran utama yang perlu dilalui adalah membiasakan diri dengan kostum Cicak Man yang dipakai ketika melakukan aksi-aksi lasak dan merbahaya.
“Sut getahnya agak keras dan menyukarkan sedikit pergerakan, pada masa yang sama lokasi yang sentiasa berubah-ubah menyebabkan saya perlu membiasakan diri terlebih dahulu sebelum melakukan aksi-aksi yang diminta.
“Ia merupakan pengalaman berharga, saya rasa bertuah kerana dikelilingi orang yang profesional dan tahu menjaga keselamatan diri saya,” jelasnya yang teruja dapat berkerja di bawah pengarah muda tersohor, Yusry Abdul Halim.
Rezeki Halim, nyata tidak terhenti setakat itu sahaja, dia turut ditawar melakukan aksi yang sama di dalam filem Jin Notti dan Haq.
Ujarnya, minat yang mendalam dalam bidang seni dan pengarahan filem mendorongnya mengambil jurusan Diploma Perfileman di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Saya mahu berjaya serentak dalam kedua-dua bidang. Siapa tahu, satu hari nanti saya akan mengarahkan filem sendiri dan menggabungkan parkour dalamnya seperti filem Yamakasi yang berjaya mempopularkan seni ini di seluruh dunia,” katanya yang turut berkongsi minat dengan adiknya, Ammar Haidhar, 21.
Fleksibiliti gerakan

AHLI Kelab 3RUNmy pernah mengadakan persembahan untuk majlis pelancaran model baru Mini Cooper.


Pelajar perubatan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Muhammad Sabree Mohd. Sapian pula berkata, dia gembira kerana parkour semakin diminati masyarakat biarpun tidak begitu popular berbanding sukan lasak lain seperti BMX, skateboard atau rollerblade.
“Sebelum ini, ramai yang salah tafsir dan beranggapan seni ini yang merbahaya dan memudaratkan, malah ada juga yang menganggapnya sebagai satu perbuatan vandalisme.
“Namun sejak kebelakangan ini, popularitinya semakin meningkat, ini dapat dibuktikan melalui maklum balas yang diterima orang ramai dan penganjur setiap kali selesai melakukan persembahan,” katanya yang kini mencecah 23 tahun.
Mula menceburi parkour pada 2003, pemuda itu memberitahu, parkour merupakan seni yang menitik beratkan aspek disiplin, stamina, kelenturan dan ketahanan badan melalui satu gerakan.
“Kami bukan melakukannya secara semberono, sebaliknya menganalisis persekitaran sebelum membuat keputusan melakukan sesuatu aksi dalam melepasi sesuatu halangan di hadapan,” ujarnya.
Jelasnya, seni yang dipopularkan oleh David Belle sekitar tahun 1990-an itu telah banyak mengalami transformasi dan tidak sekadar lompatan biasa bagi melepasi halangan semata-mata.
Katanya, kini terdapat elemen-elemen baru telah dicipta dalam parkour menggabungkan aksi akrobatik dan kreativiti seperti flip (lompatan berpusing) bertujuan menjadikan sesuatu persembahan itu lebih menghiburkan.
“Jika diikutkan terdapat beratus-ratus gerakan dalam parkour, namun asasnya masih sama iaitu berlari, melompat, memanjat, mengimbangi diri dan melakukan pergerakan dengan senyap.
“Menariknya, walaupun menempuh halangan yang sama, gerakan parkour adalah berbeza bagi seseorang individu. Hanya empunya diri yang tahu apa yang akan dilakukannya, sebab itu parkour amat sukar dijangka,” katanya.

No comments:

Post a Comment